Monday, August 10, 2009

Bahagia menjadi gadis, tidak rugi menjadi jejaka

Ada wanita yang tidak redha menjadi wanita , lalu memilih untuk menukar identitinya kepada ‘lelaki’, sepertimana lelaki yang memilih menjadi ‘wanita’. Tetapi yang jauh lebih ramai ialah wanita yang tidak redha dengan segala ‘kekurangan’ dirinya berbanding dengan lelaki. Dirasakan bahawa menjadi wanita seolah-olah menjadi warga kelas kedua (second class citizen) yang kehadirannya tidak begitu penting atau statusnya tidak diiktiraf dengan sewajarnya di dalam ‘dunia lelaki’. Malah rasa kurang istimewa dan dieksploitasi oleh lelaki.

Wanita Islam juga merasakan serba-serbi tidak boleh berbanding dengan lelaki, seolah-olah terkurung dan terbatas apabila mengikut syariat. Hal ini tidak menghairankan. Pada zaman Nabi S.A.W pun, perkara ini pernah menjadi isu besar. Kaum wanita menghantar wakil menemui Baginda S.A.W untuk bertanyakan persoalan ini. Tetapi yang mereka tanyakan bukanlah soal hak untuk mendapatkan kedudukan sosial yang sama dengan lelaki dan boleh buat apa sahaja yang lelaki buat. Yang mereka tanyakan adalah seperti yang dituturkan dalam bahasa yang begitu indah oleh Asma binti Yazid Ansari :
“Kami kaum perempuan telah menghabiskan kebanyakan dari masa kami di antara empat dinding rumah-rumah kami. Kami tinggal secara terikat kepada tugas-tugas kami dengan memenuhi keinginan hawa nafsu kaum lelaki di mana kami melahirkan bayi-bayi untuk mereka dan mengurus urusan rumah tangga mereka. Namun pada keseluruhannya, kaum lelaki telah mengatasi kami untuk mendapatkan ganjaran di dalam perkara-perkara yang mana tidak terdaya kami lakukan. Mereka dapat mengerjakan solat harian dan Jumaat di masjid, menziarahi orang-orang sakit, menghadiri uapacara jenazah, melaksanakan fardhu haji dan paling besar sekali dapat berjuang di jalan Allah. Apabila mereka pergi untuk mengerjakan haji atau berjihad, kamilah yang memelihara harta benda mereka, mendidik anak-anak mereka dan menenun kain untuk mereka. Tidakkah ganjaran-ganjaran itu dibahagi-bahagikan bersama di antara kami dan mereka?”
Nabi S.A.W sangat kagum dengan pertanyaan yang bijaksana itu, lalu Baginda bersabda kepada Asma ;
“Dengarlah dengan teliti dan kemudian pergilah dan khabarkanlah kepada kaum wanita yang telah mewakilkan dikau bahawa apabila seseorang wanita menyukakan hati suaminya dan membereskan tugas-tugas rumah tangga mengikut kepuasan hati suaminya, dia akan memperolehi ganjaran yang sama sepertimana yang kaum lelaki perolehi dari semua tugas mereka kepada Allah.”

Asma menerima jawapan balas dari Rasulullah S.A.W ini dengan perasaan yang amat gembira. Kerana telah jelas baginya bahawa wanita tidak perlu sama sekali mengubah peranan dan bidang tanggungjawab mereka untuk memperoleh martabat yang sama seperti kaum lelaki.

Jadi, tanpa perlu menjadi seperti lelaki, wanita secara semulajadi sangat berharga dan sangat bernilai dalam kehidupan. Memang sama sekali tidak rugi, malah sangat beruntung menjadi wanita. Amat malang seandainya ada wanita yang tidak tahu betapa beruntungnya dia menjadi wanita. Lebih malang lagi jika ada wanita yang sanggup melakukan tindak-tanduk yang menyebabkan harga dirinya hilang hingga jadilah dia orang yang rugi..

(dipetik dari Majalah Anis)

p/s ; berbahagialah menjadi wanita.. beruntunglah mejadi jejaka.. antara kita; rijal dan nisa', kita tidak perlu mengubah apa-apa untuk mencapai maqam Taqwa yang lebih tinggi... kerana disisi Tuhan, yang dilihat ialah Taqwa kita...perlukan bukti? lihatlah kisah Asiah isteri Fir'aun yang dinobatkan di dalam Al-Quran, seorang wanita bertaqwa.. tapi suaminya dicela Allah.... apa lagi? jom FASTABIQUL KHAIRAT... =)

No comments:

Post a Comment