Monday, October 12, 2009

Mengingati MATI..

Masa berjalan seiring dengan urusan Pencipta. Kontradik. Masa tetap terus, namun urusan sentiasa berubah. Masa terus, insan silih berganti.. masa? tidak memandang sesiapa.. mati? tidak mengenal sesiapa..

Aku membesar saban hari melihat keperitan hidup kakak sulung yang hilang suaminya . hilang tempat bergantung. Dia begitu kuat ketika menyedari kematian suaminya di ribaannya sendiri. Dengan anak yang dikandungnya 8 bulan, satu-satunya permata puteri dalam keluarganya, tanpa diduga, insan tercinta pergi.. dia kekal menahan pilu dan tangisan.. Namun, siapa tahu…. dia mengalirkan air mata saat melihat anaknya usai selamat dilahirkan. Tangisan jenis apakah itu, tidak dapat ditafsirkan oleh sesiapa. Hanya dia tahu bagaimana peritnya menjadi ibu tunggal, sepi kelahiran tanpa suami. Namun, Allah mengujinya lagi, anaknya dikenal pasti punya pendarahan di dalam kepala. Saat kritikal. Di dalam pantang, tanpa suami.. jenis ujian apakah ini? Namun ku tahu, Allah lebih tahu tahap kekuatannya. Tanpa meroyan, tanpa racauan, dia kekal tabah. Kagum melihat semangatnya. Namun akhirnya bayi comel ini selamat dibedah dan dirawat sempurna. Alhamdulillah~ Sesuai dengan gelaran perempuan yang sulung, dia ditarbiah Allah sedemikian rupa. Kuatnya bahu si sulung. Tidak mampu kubayangkan penderitaan demi penderitaan, tragedi demi tragedi..

Tuhan, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Ya Tuhan kami, keluargaku tidak mampu mengharungi semua ini bersama andai tidak kau iringi dengan kekuatan. Ya tuhan kami, kami bersyukur atas kurniaan-Mu.. sekurangnya, seorang ahli keluarga kami, telah kau sayangi. Jadikan keseluruhan dari kami lebih engkau cintai… pertemukan kami di syurga-Mu yang lahir dari ibu dan ayah yang sama,
mengukuhkan lagi mawaddah dan rahmat..kurnia dari-Mu...

Namun, bukan itu menjadi fokus penulisan kali ini, tetapi Mati ;

semua kan merasai. Debar pasti terasa sekiranya kalimah mati diungkap. Saban hari kita terleka, kita terlengah. Tiba-tiba kita dikejutkan dengan pemergian sesiapa. Benarlah, itu adalah penyedar dan ibrah buat kita yang hidup. Mengingatkan kita kembali tentang mati.. setiap hari, kita kan lagha dengan keadaan sekeliling. Alpa dengan hidup. Leka dengan urusan dunia. Hingga Allah menyedarkan kita dengan satu hakikat… mati.

Kata Imam Al-Ghazali : “Carilah hatimu di tiga tempat.. Carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Jika tidak kau temui, carilah hatimu sewaktu bangun mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah pada Allah, pinta hati yang baru, kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati”


Mengingati Mati?
melupakan mati bermaksud mematikan hati…

sahabat-sahabat sekalian, sekadar renungan kita bersama..

Sebelum tidur, pernah terfikirkah tidur ini mungkin tidur yang selamanya? Solat yang dilakukan, mungkinkah kali yang terakhir? Bersalaman dengan ibu bapa jua mungkin yang terakhirkah? Hakikatnya, di dalam Islam kita tidak diajar takut kepada mati, tapi diajar untuk mengingati mati.

Mengingati mati bukanlah menjadikan seseorang itu pasif dan berputus asa, tapi menjadikan sesorang itu aktif dan produktif dalam setiap tindakannya. Mengingati mati mampu menjadikan seseorang melakukan ibadahnya dengan sempurna, meningkatkan pahala, mengurangkan dosa dan menutup aurat dengan sebaik-baiknya. Tanyalah pada diri, bersediakah aku menghadap Allah dengan amalan sebegini? Solat yang masih gagal mencapai tahap mencegah diri kita dari perbuatan keji dan mungkar…? Ketahuilah, Izrail ‘memandang’ kita 70 kali sehari. Bayangkan, jika di saat diri kita membuat maksiat, saat itulah Malakat Izrail menjemputmu, bagaimana agaknya ya? Husnul Khatimah kah? Mati dalam imankah? Tsunami, gunung berapi, kejadian tanah runtuh, Influenza A, H1N1 dan sebagainya tak pernah diduga oleh sesiapa, baru-baru ini kita dikejutkan dengan pelbagai bencana Alam atau bala yang hakikatnya adalah peringatan buat kita, terlalu banyak… meragut nyawa bukan seorang dua…

dan cukup untuk mengajar kita satu ‘ibrah bahawa kematian datang tiba-tiba, tak kenal sesiapa…

Friday, October 9, 2009

Ujian.. Anugerah...

Salam alayk… sekadar kisah biasa yang ingin dikongsi..

Ujian-Nya...
Di saat tugasan yang membukit, di saat itulah aku dipanggil ustaz untuk menyertai Majlis Ujian Tafsir dan Hafazan peringkat IPGM seluruh Malaysia.. jauh termenung, bukan niat hendak menolak, tapi seakan-akan tidak mampu untuk memikul tugas itu… paling sedih, laptopku terkubur rosak.. mana mungkin mampu kuselesaikan semuanya? namun, pada Allah jua dikurniakan segala serahan tawakkal.. ku selak helaian Tafsir al-Quran kesayangan, ku tatapi surah As-syarh berulang kali menenangkan jiwa dengan janji-Nya.. hati terubat.. ada kesenangan disebalik semuanya, bila dan bagaimana? Aku sendiri tidak pasti.. pada-Nya jua aku sandarkan segalanya...

Hanya Allah yang mengerti bagaimana hati ini.. di dalam kelas, aku ’terlepas’ cakap mengatakan kenapa aku yang diuji sebegini.. namun segera sahabatku menyambut ’ish, tak baik, tu tandanya Allah sayang kat kita’.. dan sebenarnya ujian itulah yang dapat membuktikan betapa kita beriman atau berdusta.. Astaghfirullah, begitu bebas hati berprasangka dengan Allah..
Benarlah firman-Nya dalam surah Al-Ankabut ayat 2-3 Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
dan aku.. entahlah dimana aku... seakan tidak mencapai maqam ujian...

Alhamdulillah, usai kesemuanya 5-9 Oktober 2009..

Allahu Akbar, Subhanallah... Maha Suci Engkau yang memudahkan urusanku, yang memberi kecukupan buatku, yang memberi kekuatan kepadaku melalui segalanya..

Sahabat-sahabat,
Selamanya masalah akan menghimpit kita.. pelbagai cara, pelbagai jenis ujian yang Allah timpakan kepada kita. Namun, ia sebenarnya ada kesenangan dan ketenangan yang Allah anugerahkan...yang penting, bagaimana kita menghadapinya.. tentulah dengan berlapang dada dan sabar.. pujuklah hati, berbaik sangkalah dengan Allah.. kerana disetiap ujian ini, adanya hikmah disebaliknya yang cukup besar dan yakinlah ianya adalah tarbiah Allah.. melaluinyalah sifat sabar, tabah, cekal, tawakkal dapat dipupuk.. usah dicari ketenangan pada manusia, kerana dia takkan mengerti apa yang dihati kita.. tapi pada Allah! Dia Maha Mengetahui segalanya , sangat memahami hamba-Nya, dan sangat Maha Merancang, Dialah yang datangkan segala masalah ini, dan selayaknya pada Dialah dipohonkan jalan penyelesaian.. pohonlah kekuatan melaluinya..


Berakhir sudah kekusutan... kini, terbit sinar kesenangan.. syukur pada-Mu ya Allah... jadikan aku dikalangan mereka yang ’sedikit’.. amin..

Dan...
Anugerah-Nya...
Disana, kupertemukan semula dengan sahabat-sahabat yang awal perkenalan kami ketika Februari 2009.. untuk sahabat-sahabat di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam terutamanya PISMP Sem 4 PA, ku dedikasikan setinggi ingatan buat kalian..ucapan terima kasih atas segalanya..

Ingatlah, di jalan Allah, persahabatan ini bukan milikmu dan bukan jua milikku, walau sekejap cuma kita bertemu.. persahabatan ini adalah perancangan Allah yang mengetahui segala rahsia.. kerana Dialah aku mengenalimu dan kerana dialah yang telah menetapkan kita mengukir kenangan bersama.. moga ianya kekal hingga ke Jannah...




~ustazah.. Tq sbb blanja Sup Be Dengung di Nilai3.. sedap..


~makan selepas stress... hehe..

Wallahu’alam...

Kembara sang pencinta…

Kembara mencari cinta..
Kesenangan, kegetiran..
Hanya dunia, tidak pada ukhrawi..

Kian langkah menapak,
Pada sebuah kembara cinta..

Hanya kesusahan, hanya kelalaian..

Langkah kian penat..
Duhai hati,
Izinkan..
Agar kembara ini terhenti..

Kembara ini,
Restui agar ia berakhir..

Duhai hati, langkahmu langkah sang pengembara..
Mencari cinta..
Pada sang kekasih..
Pada sang Penganugerah cinta..
Allah Al-Wahhab..